Sekolah
Menengah Kebangsaan Tuanku Lailatul Shahreen yang sebelum ini dinamakan Sekolah
Menengah Kebangsaan Padang Behor merupakan sekolah menengah termuda di negeri
Perlis, yang ditubuhkan pada 1 April 2010. Asalnya, sekolah ini merupakan
sekolah harian biasa yang lokasi pendaftarannya sebagai sekolah bandar yang
terletak dalam Mukim Sena dan di bawah Parlimen Kangar. Sekolah yang
dikategorikan sebagai sekolah Gred B ini mempunyai keluasan 7.38 hektar.
Sekolah yang bernilai RM 21 juta ini
agak istimewa terutama dari aspek fizikalnya, iaitu bentuk bangunannya yang
berbeza daripada bentuk bangunan sekolah lain yang ada di negeri Perlis.
Difahamkan, sekolah ini adalah sekolah ke-2 di Malaysia yang memiliki rupa
bentuk sebegini.
Dari segi sejarahnya, sekolah ini ditubuhkan
bagi menempatkan pelajar-pelajar aliran akademik dan aliran agama dari SMK Syed
Hassan, apabila sekolah itu telah diwartakan sebagai Sekolah Sukan Negeri
Perlis, mulai tahun 2009. Apabila SMK Syed Hassan memfokuskan pengajaran dan
pembelajaran berasaskan bidang sukan, Jabatan Pelajaran Perlis terpanggil untuk
mengekalkan pelajar-pelajar rancangan khas ini di dalam satu persekitaran yang
lebih sesuai. Maka lahirlah SMK Padang Behor dengan objektif utamanya untuk
menempatkan pelajar-pelajar cemerlang akademik ini, sehinggakan ada yang lebih
selesa menyebut sekolah ini sebagai SMK Syed Hassan kedua.
Pada peringkat awal, sekolah ini
menempatkan seramai 480 orang pelajar dan 34 orang guru sebagai perintis
sekolah yang merupakan pelajar dan guru SMK Syed Hassan. Pengetua SMK Syed
Hassan, Encik Abdul Aziz bin Abdullah dilantik menjadi Pengetua SMK Padang
Behor. Staf pejabat dan pembantu makmal juga adalah dari SMK Syed Hassan.
Sebelum berpindah, pentadbiran dan pembelajaran pelajar sekolah ini beroperasi
di SMK Syed Hassan.
No comments:
Post a Comment